SMK Mat Salleh Ranau,Sabah

Peti Surat 43, 89307 Ranau :: Tel: 088-875445 Fax No: 088-877422 “BERTEKAD TERBILANG”

..Hormati Tugas Guru..

Posted by smkmsranau on April 6, 2009




Ibu bapa perlu akur tugas guru bukan hanya mengajar mata pelajaran untuk lulus peperiksaan, tetapi turut mendidik pelajar menerusi penerapan nilai murni, selain jati diri, disiplin serta sahsiah terpuji.

Pakar Motivasi, Nawawi Yusoh, berkata jika ibu bapa tidak memberi kepercayaan kepada guru dan menganggap hukuman yang dikenakan terhadap anak mereka sebagai mendera serta masih mempertahankannya walaupun bersalah, lambat laun menjejas rasa hormat mereka terhadap guru.

Katanya, kebanyakan ibu bapa mengutamakan kecemerlangan akademik semata-mata dan bukan sahsiah yang baik menyebabkan anak mereka tidak boleh ditegur walaupun melakukan kesalahan.

“Terdapat juga ibu bapa tidak dapat menerima hakikat bahawa anak mereka bersalah dan tidak mengaku kesilapan dilakukan. Mereka perlu berbincang terlebih dulu dan jangan terburu-buru menyerang pihak sekolah atau membuat pendedahan kepada media.“Didik anak mengikut peredaran masa dan guru perlu menghukum pelajar yang melakukan kesalahan dengan bijaksana.

 

“Mungkin rotan yang dibalut dengan kertas boleh digunakan, bunyinya deras, mampu mendatangkan gerun kepada pelajar, namun ia tidak menyakitkan,” katanya.

Pakar motivasi dari Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata dalam membentuk disiplin, tugas guru lebih mencabar berbanding pensyarah universiti kerana mereka mendidik murid di peringkat kanak-kanak lagi, manakala pensyarah untuk orang dewasa.

Katanya, hukuman dikenakan adalah proses mendidik dan bukan memalukan pelajar, sekali gus memberi keinsafan dan kesedaran terhadap salah laku yang dilakukan.“Setiap hukuman harus dibincangkan kewajarannya berlandaskan etika, melainkan guru itu sendiri tidak profesional dengan sengaja melepaskan emosi kepada pelajar.

“Ibu bapa yang sering menyebelahi anak hanya akan menjejaskan pemikiran pelajar berkenaan.

 

“Tidak salah memanjakan anak untuk menghargai mereka, tetapi mereka yang melakukan kesalahan tetap dihukum dengan hukuman setimpal,” katanya.

Kurang perhatian punca anak jadi liar


Sikap ibu bapa yang suka mempertahankan anaknya daripada dihukum selepas didapati melanggar peraturan sekolah boleh dianggap kes terpencil, namun perlu diberi perhatian bagi mengelakkan terus menular, sekali gus menimbulkan masalah dalam sistem pendidikan negara.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat, Mohamad Sabri Mohamad Arsad, berkata walaupun pihaknya jarang menerima laporan sedemikian, namun tidak menafikan perkara itu berlaku.

Katanya, pengaruh persekitaran membuatkan pergaulan antara ibu bapa dengan anak serta pelajar dengan guru berubah kerana kini ibu bapa sibuk dan tidak mengikuti perkembangan anak mereka sepenuhnya.

“Terdapat juga ibu bapa yang hanya melihat anaknya ketika menghantarnya ke sekolah.“Apabila keadaan ini berlaku, anak kurang berkomunikasi dengan ibu bapa seterusnya mencari pergaulan alternatif iaitu kawan. Jika kelompok rakan itu baik, tiada masalah, namun bagaimana pula jika sebaliknya?

 

“Kebanyakan remaja bukan jahat, mereka mempunyai perasaan suka mencuba dan mencari keseronokan,” katanya.

Seorang pesara tentera, Mokhtar Jamil, 64, berkata isu sebegini berlaku kerana rasa hormat ibu bapa serta pelajar terhadap guru kian luntur dan keadaan itu jelas berbeza ketika zaman beliau bersekolah.

“Dulu, guru adalah antara golongan yang sangat dihormati dan disegani masyarakat serta martabat mereka tinggi. Guru seperti seniman yang mempunyai kelas tersendiri.“Pelajar dulu jika dihukum sampai lebam pun, apabila pulang ke rumah tidak berani bersuara, apatah lagi membabitkan guru kerana sedar mereka bersalah dan akan ditambah hukuman oleh ibu bapa jika mengadu.

 

“Mungkin kredibiliti guru sekarang menjadi antara punca masalah ini berlaku.

“Remaja hari ini memohon jawatan guru adalah pilihan terakhir selepas tidak mendapat tempat di sektor lain, sekali gus menjadikan institusi perguruan hilang aura,” katanya.

 

Sementara itu, seorang peniaga, Rozita Bahari, 33, pula berpendapat ibu bapa tidak seharusnya mencampuri urusan guru dalam mendidik anak mereka, sebaliknya memberi kepercayaan kepada pihak sekolah sepenuhnya.

“Jangan terlalu memanjakan anak dan mempercayai cakap mereka, sebaliknya selidik terlebih dulu serta bersemuka dengan pentadbir jika timbul masalah membabitkan disiplin kerana anak sekarang bijak menokok tambah,” katanya

[dipetik daripada -> Berita Harian, bertarikh 06hb April 2009]

Leave a Reply

Create a free edublog to get your own comment avatar (and more!)

You must be logged in to post a comment.